Pengenalan

Arbuscular Mycorrhizal Fungi (AMF) ialah sejenis kulat yang berfaedah yang didapati hidup secara semulajadi di dalam tanah. Ia hidup bersimbosis dengan akar kebanyakan spesis tanaman. AMF berfungsi meningkatkan perkembangan akar rerambut tanaman di samping membentuk jaringan hifa yang meluas di dalam lapisan tanah. Kehadiran AMF di dalam pada akar tanaman boleh meningkatkan ketahanan tanaman terhadap penyakit (Hooker et al., 1994), meningkatkan kadar penyerapan nutrien (George et al., 1995) dan air (Davies et al., 1993) oleh tanaman.

Kajian mendapati AMF berfungsi sebagai baja biologi yang bertindak sebagai penyubur tanaman. Penggunaan AMF sebanyak 2.5 tan/hektar didapati meningkatkan pertumbuhan barli sebanyak 167% (Owusu-Bennoah & Mosse, 1979). Kuo & Huang (1982) menunjukkan peningkatan pertumbuhan pokok kacang soya sebanyak 21% dengan inokulasi oleh AMF. Black & Tinker pula melaporkan peningkatan hasil sebanyak 20% pada pokok ubi kentang dengan inokulasi oleh AMF. Bagyaraj & Sreeramulu (1982 ) berjaya meningkatkan hasil pokok cili sebanyak 55% dengan inokulasi oleh AMF.

AMF hadir secara menyeluruh dalam sebahagian besar komuniti semulajadi tumbuhan dan boleh bersimbiosis dengan lebih 80% daripada tumbuhan vaskular yang bertindak sebagai perumah (Harley & Smith, 1983; Smith & Read, 1997). Hubungan simbiosis ini memberikan faedah kepada tumbuhan perumah termasuk meningkatkan pertumbuhan, toleransi kepada penyakit, kemarau dan saliniti (Meharg & Cairney, 2000; Borowicz, 2001). AMF juga memainkan peranan dalam kestabilan agregat tanah dan pembinaan struktur liang-liang makro pada tanah yang membolehkan kemasukan air dan udara dan menghalang hakisan tanah (Miller & Jastrow, 1992; Jeffries et al., 2003). Kebaikan inokulasi AMF kepada tanaman telah di dokumentasikan oleh banyak kajian (Menge & Timmer, 1982; Harley & Smith, 1983; Sylvia et al., 1993).

AMF adalah komponen utama dalam ekosistem lestari tanah-tumbuhan. Ini disebabkan peranan penting AMF dalam perolehan nutrien dalam biodiversiti dan kitaran nutrien (Jeffries & Barea, 2000). Berdasarkan kepada sifat biologi semulajadi, kelapa sawit berpotensi mendapat faedah yang sangat baik daripada kesatuan dengan AMF. Ini menjadikan pengeluaran minyak sawit lebih lestari dan menjimatkan pelaburan dalam pembukaan ladang-ladang baru.

Kajian-kajian Penggunaan AMF Terhadap Tanaman Kelapa Sawit

Industri perladangan kelapa sawit adalah sangat penting. Industri ini semakin berkembang dari sehari ke sehari, dimana semakin banyak negara mengembangkan pelaburan mereka. Keperihatinan industri pada isu alam sekitar telah menghasil kod amalan perladangan yang baik melalui Amalan Lestari Meja Bulat Kelapa Sawit (Roundtable Sustainable Palm Oil, RSPO). RSPO telah menerbitkan (Roundtable on Sustainable Palm Oil, 2007) dengan kriteria pengurusan lading sawit lestari. Salah satu kriteria adalah memerlukan pemain industri menyediakan plan pengurusan dan operasi untuk pemuliharaan sumber semulajadi dan biodiversiti.

Walaubagimanapun, industri perladangan kelapa sawit telah mengakibatkan kekangan kepada sumber-sumber semulajadi. Penebangan hutan dan pemotongan tanah menyebabkan hakisan dan ini mengakibatkan kehilangan populasi AMF semulajadi yang berhabitat di lapisan atas tanah. Hakisan tanah dan kehilangan nutrien menyebabkan kebolehan untuk menyokong pertumbuhan menjadi terhad tanpa penambahan pembajaan eksternal.

Sistem akar kelapa sawit membolehkan ianya bersimbiosis dengan AMF secara semulajadi (Nadarajah, 1980; Blal & Gianinazzi-Pearson, 1990) (Rajah 1). Dari segi morfologi, akar kelapa sawit adalah tebal dan tidak mempunyai akar rerambut (Corner, 1966). Akar rerambut adalah sangat penting untuk pengambilan air dan nutrient yang efisien. Oleh itu akar kelapa sawit adalah sangat bergantung kepada AMF untuk mendapatkan air dan nutrien yang efisien (Corley & Tinker, 2003).