Kesan AMF Pada Anak pokok Kelapa Sawit

AMF Meningkatkan Pengambilan Unsur Fosfat

Blal dan Gianinazzi-Pearson (1990) membuktikan bahawa kelapa sawit daripada kultur tisu yang ditanam pada tanah berasid tidak dapat mengambil unsur P (Fosfat) dengan baik kecuali dengan kehadiran AMF. Kajian mereka menunjukkan kehadiran AMF meningkatkan pengambilan baja P sebanyak 2.7 hingga 5.6 kali. Motta dan Mune´var (2005) melaporkan, inokulasi AMF pada pokok kelapa sawit di peringkat semaian meningkatkan pertumbuhan sebanyak 3 kali berbanding kawalan selepas 570 hari tanpa menggunakan sebarang baja.

Widiastuti dan Tahardi (1993) menunjukkan peningkatan pengambilan unsur P sebanyak 37-44% pada kelapa sawit yang diinokulasi dengan AMF di peringkat semaian. Inokulasi AMF juga meningkatkan kadar ramet yang hidup pada fasa penyesuaian di semaian. Selanjutnya Widiastuti dan Tahardi (1993) juga menunjukkan kelapa sawit yang ditanam menggunakan tanah yang steril memerlukan baja P yang sedikit apabila diinokulasi dengan AMF. Shamala (2010) juga melaporkan, inokulasi AMF di peringkat semaian meningkatkan pertumbuhan anak sawit sebanyak 80.36%. Oleh itu, segala penemuan ini membuktikan bahawa penggunaan AMF boleh mengurangkan penggunaan baja P secara berkesan dan ini adalah bertepatan dengan prinsip-prinsip RSPO.

AMF Meningkatkan Daya Ketahanan Penyakit

AMF juga berpotensi meningkatkan ketahanan pokok kelapa sawit kepada penyakit. Kajian menunjukkan pokok kelapa sawit yang diinokulasi dengan AMF lebih tahan kepada infeksi Ganoderma. Nor Sarashimatun, S. dan Tey, C.C. (2009) (Jadual 1 & Jadual 2) melaporkan kajian pokok sawit di lapangan sehingga 5 tahun menunjukkan pokok yang diinokulasi dengan AMF tidak dijangkiti oleh kulat Ganoderma boninense berbanding pokok kawalan. Kajian pada pokok berumur 20 tahun yang telah dijangkiti Ganoderma menunjukkan AMF melambatkan kematian pokok yang telah dijangkiti dan pada masa sama berjaya meningkatkan hasil buah kelapa sawit.

Kesimpulan

Kebanyakan tanah-tanah perladangan di Malaysia adalah bersifat asid dan kurang nutrien (Ong, et. al. 2002). Dilaporkan bahawa tanaman yang diinokulasi dengan AMF menunjukkan peningkatan pemgambilan baja P terutama pada tanah berasid kekurangan baja P (Gerdemann, 1968; Safir et. al., 1971 dan Tinker, 1984). Potensi AMF dalam memberikan kebaikan kepada industri perladangan kelapa sawit terutama di Malaysia telah dibuktikan melalui kajian-kajian yang telah dijalankan oleh ramai penyelidik. Oleh itu, initiatif Felda Agricultural Services Sdn Bhd dalam mempelopori penghasilan produk AMF adalah selari dengan perkembangan semasa dunia perladangan dan ini membolehkan kelangsungan industri perladangan sawit di Malaysia secara lestari.