TEKS UCAPAN

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN PENGUSAHA SEMAIAN SAWIT MALAYSIA

(MALAYSIAN OIL PALM NURSERIES ASSOCIATION – MOPNA)

FELDA SUNGAI TEKAM, JERANTUT, PAHANG

SELASA, 24 APRIL 2018

                                                                                                                                                                                                                                

Yang Berusaha Encik Tan Kim Tun

Presiden MOPNA

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam Negaraku Malaysia dan Salam Sawitku.

 

[YB Datuk Seri Mah Siew Keong tidak dapat bersama-sama pada petang ini disebabkan komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Beliau menyampaikan salam dan memohon maaf di atas ketidak hadiran beliau ke Majlis pada petang ini. Seterusnya, izinkan saya membaca teks ucapan beliau]

 

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Pengusaha Semaian Sawit Malaysia (Malaysian Oil Palm Nurseries Association – MOPNA) sempena penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan MOPNA ke-11 dan juga terima kasih di atas kesudian menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MOPNA kali ke-11.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

  1. Industri sawit merupakan salah satu tonggak utama sektor pertanian dan penyumbang penting kepada pendapatan eksport negara. Jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada tahun 2017 adalah sebanyak RM77.8 bilion. Industri sawit negara terus mencatat pencapaian memberangsangkan khususnya peningkatan purata harga minyak sawit mentah kepada RM2,783.00 pada tahun 2017 berbanding RM2,653.00 pada tahun 2016. Pengukuhan harga minyak sawit di pasaran adalah hasil usaha Kerajaan dengan kerjasama pihak industri untuk memperluas dan mengukuhkan pasaran minyak sawit. Pengukuhan harga sawit adalah penting untuk memastikan pendapatan penggiat industri dan pekebun kecil akan terus meningkat seiring dengan industri lain.

 

  1. Tanaman sawit merupakan komoditi pertanian utama negara dengan keluasan melebihi 5.81 juta hektar di mana 40 peratus daripada keluasan tersebut diusahakan oleh 650,000 pekebun kecil. Dalam tempoh dari 2011 hingga Februari 2018, aktiviti penanaman semula dan penanaman baru kelapa sawit yang melibatkan kawasan seluas 128,476 hektar telah dilaksanakan. Menjelang tahun 2020, aktiviti penanaman baru dan penanaman semula kelapa sawit disasar untuk mencapai 180,000 hektar. Aktiviti ini disokong oleh bantuan yang disediakan oleh Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam bentuk Skim Tanam Baharu dan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran sawit.

 

  1. Kerajaan komited untuk meningkatkan produktiviti sektor huluan industri sawit agar industri sawit negara kekal kompetitif mengambil kira kawasan penanaman baru yang semakin terhad. Dalam hal ini, penghasilan bahan tanaman yang berkualiti adalah penting untuk menyokong hasrat Kerajaan untuk meningkatkan produktiviti penghasilan sawit dalam jangka masa panjang. Sehubungan itu, saya ingin mengesa ahli-ahli MOPNA untuk turut berkerjasama dengan Kementerian dan MPOB dalam usaha untuk menghasilkan bahan tanaman yang berkualiti melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), pensijilan Kod Amalan Baik Nurseri (CoPN) dan khidmat nasihat ke arah mencapai sasaran purata penghasilan 23.2 tan buah tandan segar sehektar setahun menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian, MOPNA sebagai peneraju rantaian bekalan sawit memainkan peranan yang penting dalam membantu meningkatkan produktiviti keseluruhan rantaian nilai industri sawit negara.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

  1. Bagi memastikan pengeluaran minyak sawit secara mampan termasuk yang dihasilkan oleh pekebun kecil, kerajaan telah melaksanakan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Pelaksanaan pensijilan MSPO yang akan menjadi mandatori pada 31 Disember 2019 diseluruh rantaian nilai industri sawit bermula di peringkat penanaman sawit sehingga pemprosesan minyak sawit adalah untuk memastikan kemampanan dan kualiti pengeluaran minyak sawit dan produk berasaskan sawit. Ini merupakan satu strategi penting bagi memperkukuhkan imej industri sawit Malaysia dan memperluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa.

 

  1. Melalui MSPO, ianya akan menangkis tohmahan pelbagai pihak termasuk masyarakat di Eropah yang mempunyai persepsi negatif terhadap industri sawit negara yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan kesan alam sekitar. Dalam konteks ini, penyertaan semua penggiat industri dalam pelaksanaan pensijilan MSPO adalah amat penting bagi menangkis tuduhan tidak berasas tersebut. Kementerian bersama MPOB dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) akan terus giat melaksanakan sesi penerangan dan taklimat mengenai pelaksanaan dan pensijilan MSPO. Justeru, ini adalah penting untuk semua ahli MOPNA untuk menyokong pensijilan tersebut.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

  1. Saya yakin bahawa dengan program yang disediakan oleh Kerajaan dan penglibatan para penggiat industri semaian sawit dalam melaksanakan saranan oleh MPOB berkenaan pengurusan nurseri, pengeluaran hasil sawit negara dapat ditingkatkan seterusnya menjana pendapatan yang tinggi. Saya juga berharap perhimpunan tahunan ini dapat menjadi medium kepada ahli-ahli MOPNA untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian industri semaian sawit negara.

 

  1. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MOPNA kali ke-11.

 

Sekian, terima kasih.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

24 April 2018